Langkah-langkah Mengelakkan Konflik Rumah Tangga

Langkah-langkah Mengelakkan Konflik Rumah Tangga

Ditulis oleh: Staff

Topik: Tips Rumahtangga

Dalam apa jua perhubungan termasuklah perkahwinan, konflik boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana jua. Perselisihan pendapat atau pandangan akan berlaku sama ada melibatkan pelbagai isu atau masalah, tidak kira kecil atau besar masalah tersebut. Namun, apa yang lebih penting ialah cara dan langkah yang diambil oleh setiap pasangan bagi mengatasi sesuatu konflik yang berlaku dalam perkahwinan mereka perlulah disegerakan dan diselesaikan dalam keadaan yang aman dan tenang.

 

Konflik biasanya akan membuat pasangan berasa tidak senang dan gelisah terutamanya jika konflik tersebut tidak diselesaikan dengan segera. Sesetengah pasangan dapat bertahan dengan konflik tersebut dalam masa yang lama, sesetengah pasangan yang lain pula dapat memulihkan hubungan dan berhenti daripada bertengkar selepas masing-masing meluahkan perasaan yang terpendam.

 

Selalunya pertengkaran dan perselisihan berpunca daripada isu-isu yang kecil. Namun, akibat terlalu menganggap ianya suatu perkara kecil, ianya semakin berlarutan dan menyebabkan masalah yang kecil pada mulanya menjadi semakin besar dan parah seterusnya menyebabkan konflik yang berterusan. Lebih parah lagi apabila konflik tersebut terus dibiarkan dan menyebabkan faktor berlakunya perceraian.

 

Untuk mengekalkan hubungan perkahwinan yang teguh dan mantap, pakar-pakar perkahwinan mencadangkan pasangan untuk mengambil langkah-langkah konkrit bagi mengelakkan konflik yang boleh terjadi akibat masalah kecil. Salah satu caranya adalah dengan bercakap dan berbincang mengenai masalah tersebut secara berdua dengan pasangan. Ingatlah bahawa komunikasi terbuka bersama pasangan ialah kunci untuk memahami dan mencari penyelesaian kepada sebarang masalah rumah tangga yang dihadapi.

konflik-rumah-tangga

Semasa anda melakukan perbincangan bersama pasangan, kongsikan masalah-masalah kecil dalam kehidupan seharian anda yang boleh menyebabkan anda berasa kurang selesa atau sebagainya. Antara masalah kecil tersebut ialah keadaan bilik yang tidak teratur serta bersepah, dapur atau tandas yang berbau dan sebagainya. Percaya atau tidak, semua perkara kecil ini boleh berlaku di rumah anda. Namun, jika anda sedar bahawa kelakuan seperti itu boleh menyebabkan pasangan anda kecewa, anda pasti akan berusaha untuk tidak melakukannya lagi di masa akan datang dan akan sentiasa menjaga kebersihan setiap hari.

 

Mengekalkan hubungan yang baik dalam perkahwinan memerlukan usaha. Jadi, mengapa anda tidak belajar untuk mengenali dan mengetahui perangai serta sikap pasangan anda? Carilah penyelesaian terbaik kepada pasangan dalam menyelesaikan konflik. Suami dan isteri mempunyai cara yang berlainan dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Sesetengahnya mengambil masa yang lama untuk pulih dan ada yang mengambil masa yang sekejap. Berusahalah untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan segera agar ianya tidak berlarutan.

 

Langkah lain yang boleh anda ambil adalah dengan sentiasa mencari punca dan jalan penyelesaian kepada konflik anda. Jika anda dan pasangan anda membenarkan diri masing-masing untuk menerima kesan akibat konflik dan terus-menerus untuk tidak bercakap tentang penyelesaian masalah tersebut, ada kemungkinan bahawa hubungan anda akhirnya akan menjadi semakin renggang. Anda pasti tidak mahu perkara sebegitu berlaku dalam hidup anda. Jadi, berikanlah komitmen anda bersama pasangan anda dalam mencari penyelesaian dengan segera.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 Comments Untuk artikel ini Kami sudi mendengar luahan anda.

  1. yan says:

    langkah2 yg best di atas,tiada komen apa2

  2. saiful says:

    cara nak mengatasi isteri yang ego atau simpulan bahasa nak seribu daya , tak nak seribu alasan / berdalih dan apa bentuk bidang cara dia je yang betul akan tetapi salah……………….please saya dalam buntu memikirkannya ….

Tinggalkan KomenInilah peluang anda untuk berkongsi!