Jenis jenis pengorbanan dalam cinta

Jenis jenis pengorbanan dalam cinta

Ditulis oleh: Staff

Topik: Tips Hubungan

Bila bercakap tentang cinta, pastinya akan timbul satu lagi perkataan ini, iaitu pengorbanan. Tanpa pengorbanan, cinta tidak akan wujud. Walau sekecil kecil perkara sekalipun, pengorbanan tetap akan digelar sebagai satu pengorbanan dan nilainya sangat tinggi.

 

Jika seseorang itu berkorban tidak kiralah demi kekasih ataupun demi perkara lain, dia adalah manusia yang mempunyai nilai jati diri yang sangat tinggi. Bukan semua orang mampu melakukan pengorbanan. Dan pengorbanan yang paling bernilai tentunya adalah pengorbanan yang ikhlas dan tulus. Ada jenis orang yang berbangga diri kononnya telah melakukan pengorbanan kepada sesuatu.

 

Ia adalah satu nilai yang tidak baik. Ada juga sesetengah manusia yang suka mengungkit akan pengorbanan yang telah dia lakukan. Di situ, jelas menunjukkan nilai murni sebuah pengorbanan sudah dicemari rasa riak, bangga diri dan takbur yang mendalam. Sia sia sahaja kita berkorban jika tidak ikhlas dan suka mengungkit.

 

Cinta dan pengorbanan tidak dapat dipisahkan. Memang satu pengorbanan itu dilakukan pada mulanya dengan rasa berat hati. Tetapi jika kita ikhlas berkorban, apatah lagi untuk orang yang kita sayang, pasti akan ada balasan baik untuk kita suatu masa nanti.

 

Pengorbanan yang ikhlas akan dibalas juga dengan kebahagiaan kita pada masa akan datang. Hikmah sebuah pengorbanan itu sangat besar. Bila kita ikhlas, hati akan jadi tenang dan redha, sekaligus dapat mencapai bahagia yang kita mahukan selama ini.

 

Di pihak pasangan, sudah tentu mereka akan terharu dan cinta bertambah kepada kita apabila melihat kita melakukan pengorbanan yang ikhlas demi mereka. Cinta korang pasti akan jadi utuh bila masing masing sanggup berkorban demi kebahagiaan bersama.

 

Cinta itu kan indah. Walaupun kadang kala ia datang bersama dengan sedikit kelukaan, tetapi dugaan kelukaan itulah yang mampu menjadi ubat supaya kita bertambah kenal maksud cinta sejati. Ramai orang tahu bercinta, tetapi tidak ramai yang tahu mencintai dengan ikhlas dan menerima sesuatu ketentuan dengan ikhlas. Cinta yang sebenar adalah cinta tanpa syarat. Ia termasuk membahagiakan orang yang kita sayang biarpun diri sendiri terluka.

 

Jangan takut untuk melakukan pengorbanan. Bila seseorang itu melakukan pengorbanan, nampak seperti dia sedang ‘rugi’, tetapi sebenarnya, dia telah melakukan sesuatu yang sangat mulia. Jangan risau akan apa akibat daripada pengorbanan yang korang lakukan selagi ianya dapat membahagiakan korang dan orang yang korang sayang.

 

Jadi berkorbanlah, apa saja selagi tidak melampaui batas demi orang yang korang cintai. Bertenanglah dalam menghadapi dugaan Allah kerana di akhir nanti korang akan menikmati sesuatu yang baik, malah korang dapat sesuatu yang korang tak jangka pun selama ini. Percayalah, tiada orang yang rugi dalam melakukan pengorbanan. Setiap  apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

 

Banyak jenis pengorbanan yang berlaku dalam sebuah percintaan. Mari kita kenali jenis jenis pengorbanan ini untuk menambahkan lagi pengetahuan kita dalam mencari erti cinta sejati. Pengorbanan itu sesuatu yang indah. Kenapa? Kerana dengan pengorbananlah kita dapat membahagiakan orang yang kita cintai. Antara jenis jenis pengorbanan dalam cinta adalah:-

pengorbanan-cinta

Pengorbanan hati dan perasaan

 

Pengorbanan hati dan perasaan selalunya melibatkan tentang perangai dan sifat kekasih yang kita tidak gemari. Jadi di sini, seseorang itu telah melakukan pengorbanan dengan menerima sifat yang tidak digemari tentang kekasih.

 

Pengorbanan jenis ini bukanlah bermaksud menerima sahaja bulat bulat semua sifat yang tidak disukai itu, tetapi ia adalah menerima dengan terbuka tetap dalam masa yang sama mengajar pasangan supaya berubah dengan cara baik. Mungkin ada sifat sifat si dia yang kekal dan tidak boleh diubah dalam jangka masa yang singkat. Di sinilah pengorbanan itu timbul.

 

Pengorbanan tentang hati dan perasaan ini juga melibatkan perlakuan pasangan yang selalu menyakitkan hati, bertindak kasar dan sebagainya. Seorang kekasih yang baik akan menerima pasangannya seadanya. Bukan bermakna dia tidak kisah diri terluka atau diperlakukan dengan tidak baik, tetapi dia menerima apa adanya dengan hati yang ikhlas dan berharap agar kekasihnya itu berubah dan kembali semula kepadanya. Ayat yang selalu kita dengar,

“takpelah, aku rela beralah demi kebahagiaan dia”,

 

Ini salah satu contoh pengorbanan. Ada orang menyalah ertikan pengorbanan dengan sesuatu yang bodoh. Tetapi sebenarnya bukan. Hanya orang yang pernah melakukan pengorbanan secara ikhlas sahaja yang tahu makna sebuah pengorbanan.

 

Mereka yang mempunyai hati yang utuh saja yang mampu melakukan pengorbanan. Lagi besar sebuah pengorbanan yang dilakukan, lebih utuhlah hati seseorang itu. Lambat laun, pengorbanan yang korang lakukan itu pasti akan terbalas dengan kebaikan juga.

 

Pengorbanan kerjaya

 

Berkorban kerjaya untuk kekasih. Ini selalu terjadi kepada pasangan yang sudah berkahwin terutamanya di pihak wanita atau isteri. Sebagai seorang isteri, korang perlu mendengar kata suami.

 

Tempat seorang isteri itu di sisi suami. Jadi di saat ini korang perlu korbankan kerjaya untuk korang demi perkahwinan yang telah terbina ini. Kepada pihak suami, apabila si isteri sudah berkorban melepaskan kerjayanya demi korang, hargailah betul betul.

 

Bertanggungjawablah dan tunaikanlah impian isteri korang yang sudah berkorban jiwa dan raga untuk korang. Mungkin si isteri sudah dari kecil lagi menyimpan impian untuk menjadi seorang doktor misalnya, apabila berkahwin, korang sebagai suami lebih suka jika isteri korang duduk di rumah.

 

Bukan mudah ya untuk isteri korang melepaskan impian yang telah dibina nya daripada kecil lagi. Oleh itu, jika dia melakukan pengorbanan melepaskan kerjaya impiannya hanya untuk korang, itu menunjukkan dia sangat menyayangi korang dengan setulus hati. Korang bertuah mempunyai seseorang yang sanggup berkorban untuk korang.

 

Tidak semestinya di pihak isteri, di pihak suami juga boleh melakukan pengorbanan. Misalnya sebelum ini si suami bekerja di tempat yang jauh dan terpaksa tinggal berjauhan.

 

Jadi si isteri minta suami supaya menukar kerjaya demi keutuhan hubungan perkahwinan itu. Bila suami buat pengorbanan menukar kerjayanya untuk membahagiakan hati isteri, mesti dia akan bertambah cinta pada korang.

 

Pengorbanan masa dan impian

 

Pengorbanan masa selalu terjadi di zaman percintaan dan zaman membina impian. Di saat itu, masing masing sibuk untuk mengukuhkan kedudukan kewangan misalnya, jadi di sini pasangan itu perlu banyak melakukan pengorbanan masa.

 

Banyak perkara boleh timbul semasa melakukan pengorbanan ini, seperti rasa prasangka, rasa cemburu, tanggapan tanggapan negatif seringkali muncul dalam minda dan macam macam lagi. Maklumlah, kalau dah selalu sangat sibuk sampai tiada masa nak berjumpa, pasti akan ada sedikit sebanyak anggapan seperti,

“dia dah lupa aku ke?”

“dia mesti dah tak ambil berat tentang aku lagi”,

“kenapa dia dah tak hubungi aku macam dulu?”

“sudah pudarkah cinta dia terhadap aku?”

 

Ok, bagi lelaki kerjaya memang sesuatu yang sangat penting. Korang yang perempuan perlu memahami orang lelaki dengan lebih mendalam. Apabila lelaki menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja, memang mereka akan lupa pada segala benda di sekeliling.

 

Lupa di sini bukan bermaksud mereka tidak pedulikan korang, tetapi itu tanda mereka fokus terhadap kerja. Dan bagi lelaki, jika dia mahu buktikan yang dia mencintai korang, dia akan buktikan dengan kejayaan dalam kerjayanya.

 

Bagi perempuan pula lain. Mereka memerlukan perhatian yang lebih sedikit daripada lelaki. Dan emosi mereka juga selalu terganggu dengan perkara perkara yang bukan bukan. Tetapi bukan bermakna wanita tidak tahu menghargai kerjaya pasangan mereka.

 

Cuma kadang kala, ada masanya mereka suka berfikiran negatif tanpa sebab. Perempuan ni misteri sedikit. Lama kelamaan, tanggapan negatif itu akan hilang dengan sendirinya. Tetapi untuk lelaki, jangan pula buat tidak tahu. Pasangan korang sudah melakukan yang terbaik dengan melakukan pengorbanan masa terhadap korang. Jadi korang perlu menghargainya. Sibuk macam mana pun, pujuk sekali sekala tak salah kan?

 

Pengorbanan melepaskan demi yang terbaik

 

Ini pengorbanan yang paling sakit sekali rasanya. Pengorbanan melepaskan si dia demi kebaikan si dia adalah perkara yang paling menyedihkan. Namun hakikatnya, pengorbanan jenis ini ada berlaku. Banyak sebenarnya. Ini berlaku apabila salah seorang dari pasangan mengatakan dia mahu pergi atau sudah tidak mahu lagi meneruskan perhubungan itu.

 

Jadi pastilah korang nak atau tidak terpaksa melepaskan si dia untuk kebaikannya. Sukar macam mana dan sakit macam mana pun, pengorbanan ini yang terpaksa korang lakukan. Ini kerana tiada gunanya memaksa sesuatu yang dia tidak mahu. Jika dipaksa dan ditekan, akibatnya makin buruk. Untuk pengorbanan jenis ini, masa adalah penyembuhnya.

 

Jangan dipaksa sesuatu yang bukan berada ditempatnya. Mungkin si dia memerlukan masa untuk memikirkan kembali tentang hubungan korang. Korang perlu bersabar dan ikhlas sehabis mungkin. Memang sakit apabila melakukan pengorbanan ini, tetapi tetap aka nada hikmah yang terbaik untuk korang.

 

Pengorbanan demi agama dan keluarga

 

Cinta yang sebenar benarnya sejati adalah cinta yang datang dari Allah. Ada yang memilih untuk mencintai dalam diam agar diri sentiasa terpelihara daripada anasir yang boleh menyebabkan dosa.

 

Pengorbanan ini lebih terarah kepada pengorbanan demi menjaga maruah keluarga dan agama. Sangat mulia lah sesiapa yang boleh melakukan pengorbanan ini dengan ikhlas. Ini kerana kita semua adalah manusia biasa yang penuh dengan kekhilafan.

 

Manusia biasa yang bergelumang dengan dosa setiap hari. Individu yang melakukan pengorbanan ini memilih mencintai dalam diam dan berserah kepada Allah. Pun begitu, dia tetap berdoa agar dipertemukan dengan jodoh yang baik dari Allah.

 

Pengorbanan jenis ini juga seringkali berlaku apabila terdapat pertelagahan tentang calon pasangan dengan keluarga. Jadi ramai yang memilih keluarga kerana keluarga lah yang membesarkannya selama ini.

 

Ia tidak salah dan tidak betul. Sebenarnya persoalan berkorban cinta demi keluarga ini masih belum ada jalan penyelesaian yang terbaik. Apa pun pilihannya, pasti ada pihak yang akan terluka. Tetapi selagi boleh dipujuk keluarga itu, pujuklah agar mereka dapat menerima calon pasangan korang dengan hati terbuka.

 

Kalau mereka sudah ada pilihan yang lain untuk korang, usaha lagi agar korang dapat menerima yang terbaik pula. Jika ditakdirkan korang terpaksa mengorbankan cinta demi keluarga, bersabarlah banyak banyak. Allah itu Maha Mengetahui, InsyaAllah, ada sesuatu yang baik menanti korang atas pengorbanan yang korang lakukan sekarang ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan KomenInilah peluang anda untuk berkongsi!